• ENJOY FREE SHIPPING WITH MINIMUM PURCHASE OF RM80
icon-search
icon-search

Bisnes 'perfume' jenama sendiri

Bisnes 'perfume' jenama sendiri

Memilih untuk bergelar isteri pada usia muda, pada mulanya ada yang memandang sinis akan keputusan dirinya ini. Alasan karier lakonannya baru bermula menjadi sebab ada yang melihat tindakan pelakon ini untuk menamatkan zaman daranya terlalu drastik.

Namun selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, Eyra, 23, atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali membuktikan status sebagai isteri dan ibu tidak pernah menjadi sebab untuk dia disisihkan sebagai antara pelakon wanita pilihan. Masih meraih perhatian sebagai anak seni, kongsi isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, lapangan kerjaya ini akan kekal menjadi pilihan dirinya.

Sentiasa menghargai sokongan yang diberikan suami dan keluarga, jelas Eyra ketika ini juga dia berusaha memastikan perniagaan minyak wangi yang dimulakan dirinya sejak dua tahun lalu terus bergerak maju. Berkongsi lebih lanjut mengenainya katanya lagi, dia cukup bertuah untuk diberikan kepercayaan Nori Malaysia Sdn Bhd untuk muncul dengan wangian pilihannya sendiri.

"Bila pihak Nori Malaysia memilih saya untuk menjalinkan kerjasama, ketika itu apa yang muncul dalam fikiran saya ini adalah langkah awal saya untuk bergelar usahawan. Dengan usia muda ini saya tidak mahu ini dijadikan alasan untuk saya tidak berani mencuba.

"Tetapi, siapa sangka selepas dua tahun, apa yang cukup membanggakan ketiga-tiga produk wangian di bawah jenama Eyra Hazali mendapat sambutan yang cukup baik. Buat masa ini saya sudah kenalkan empat wangian berbeza dengan tiga darinya menggunakan nama tiga kota terkenal. Bermula dengan wangian London, Barcelona, Qasdina dan Paris," katanya.

Berkongsi strategi perniagaan yang dimulakan, Eyra berkata, sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan dia sentiasa terbuka untuk belajar. Tambahnya, antara yang perlu diambil kira seorang usahawan juga bagaimana setiap produk yang digunakan perlu mempunyai elemen 'mesra pengguna'.

"Selain memastikan produk ini berkualiti untuk mendapatkan kepercayaan pengguna. Apa yang dititikberatkan saya juga bagaimana wangian di bawah jenama Eyra Hazali Beauty ini juga berbeza dengan produk wangian di luar sana.

"Bila perbincangan dilakukan dengan Nori Malaysia mereka setuju jika tumpuan produk ini turut diberikan perhatian terhadap pembungkusan. Tidak sekadar botol yang berkualiti, saya juga muncul dengan idea untuk memastikan bahagian atas minyak wangi ini tiada penutup. Sebab sebagai pengguna tegar wangian, kita tahu kehilangan penutup botol minyak wangi memang selalu berlaku. Siapa sangka idea itu menyebabkan wangian saya diterima baik sehingga kini," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, Eyra tidak nafikan umur dan pengalaman menjadi sebab untuk dia perlu berusaha lebih keras. Tidak kisah untuk bermula dari bawah, Eyra akui dengan bimbingan yang diberikan Nori Malaysia turut menyebabkan dia yakin dengan perniagaan ini. Tambahnya sebagai usahawan muda yang baru berkecimpung dalam bidang ini, tempoh Perintah Kawalan Pergerak (PKP) lalu juga memerlukan dia muncul dengan idea baharu untuk memasarkan produk ini.

"Bercakap soal pengalaman dalam bidang perniagaan tidak banyak yang boleh dikongsikan, tetapi saya banyak berterima kasih kepada rakan saya yang banyak membantu memahami selok-belok dunia perniagaan. Walaupun muda, tetapi saya yakin ini juga kelebihan buat diri saya memandangkan masih ada banyak masa untuk belajar.

"Malah apa yang cukup saya bangga kini bagaimana wangian dibawa jenama saya kini juga sudah berada di rangkaian pasar raya Aeon di seluruh negara. Antaranya MidValley, Maluri Bukit Tinggi, Shah Alam, Cheras Selatan, Nilai dan banyak lagi. Selain itu juga keempat-empat wangian saya ini juga boleh didapati di Wetex, Muar yang juga outlet Nori. Apa yang cukup membanggakan pada awal tahun ini juga wangian saya akan berada di 28 rangkaian Watson.

"Lebih penting sebagai orang muda saya juga senang untuk memastikan produk ini lebih mudah didapati secara atas talian. Selain melalui laman web Nori Malaysia sendiri, wangian saya juga boleh didapati melalui aplikasi beli-belah," katanya.

Terdahulu Eyra mengadakan sesi 'Meet & Greet Eyra Hazali' pada 14 Januari lalu di Aeon Tebrau City.

Rehat berlakon

Sedang mengandungkan anak keduanya ketika ini Eyra akui ada fokus yang perlu diutamakan. Menghargai setiap sokongan peminat untuk dirinya, bagaimanapun buat masa ini kongsi Eyra sendiri dia terpaksa meletakkan syarat untuk setiap tawaran. Bukan mahu menolak rezeki, tetapi ini adalah pengorbanan yang perlu dilakukan dirinya.

"Tawaran memang ada, malah saya juga baru sahaja habis penggambaran di Terengganu untuk drama RTM. Sebenarnya tawaran ini saya terima sejak tahun lalu, jadi perlu habiskan juga.

"Dalam keadaan mengandungkan anak kedua ini saya akui agak lemah sedikit pada fasa awal. Mujur dapat habiskan juga penggambaran, bukan mudah memandangkan terpaksa menguruskan semua sendiri tanpa suami ketika itu. Sebab itu saya bersyukur keluarga sangat memahami keadaan sekarang," katanya.

Bercakap mengenai perancangan masa hadapan, kata Eyra, selain mahu memberikan fokus terhadap perniagaannya ini dia turut mengambil cuti yang lebih panjang selepas melahirkan anaknya nanti. Tambahnya selain mahu memastikan dia benar-benar sedia untuk kembali ke bidang lakonan, waktu itu juga mahu digunakan dia untuk menimba ilmu perniagaan.

"Buat masa sekarang saya tidak terima apa-apa tawaran, perut sudah besar jadi selesa untuk berada di rumah selain menggunakan ruang ini untuk menyusun semula strategi perniagaan.

"Sebagai anak seni yang sudah sebati dengan bidang ini saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan. Cuma selepas melahirkan anak nanti saya mahu berehat dahulu selama setahun. Saya yakin dengan sokongan keluarga saya akan kembali ke dunia lakonan dalam keadaan yang cukup bersedia," katanya.



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping